CHENGDU: Di bandar raya paling bahagia di China dan sinonim dengan panda gergasi, Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu yang menjadi venue bagi kejohanan Piala Thomas dan Uber 2024, turut dilanda 'demam' panda apabila 'haiwan' itu berada di segenap sudut pusat sukan berkenaan.

Sebaik melangkah masuk ke pusat sukan itu, khalayak ramai disambut oleh maskot rasmi yang comel dikenali sebagai 'Xiong Du Du' dan 'Yu Rong Rong' selain kain rentang bertemakan panda.

Bukan itu sahaja, bulu tangkis gergasi yang diletakkan di tingkat dua pusat sukan itu turut 'memiliki' telinga panda.

Namun, yang paling mencuri perhatian ialah magnet peti sejuk yang menampilkan Yu Rong Rong bermain badminton.

Dijual pada harga 68 yuan (kira-kira RM44.93), magnet yang lazimnya dijadikan cenderahati itu laris ibarat 'pisang goreng panas' sejak hari pembukan kejohanan pada Sabtu lepas.

Menurut seorang petugas yang mengendalikan reruai menjual barangan rasmi berkenaan, Liu Jialin, sambutan luar biasa terhadap magnet itu daripada peminat badminton benar-benar memeranjatkannya.

"Sambutan sangat hebat, kami mampu jual sekitar 300 keping sehari. Lebih baik anda merebutnya satu sebelum habis," katanya kepada Bernama.

Cenderahati sempena kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone turut berkonsepkan Panda. -- fotoBERNAMA

Selain magnet peti sejuk, katanya beg jinjing, pin, buku nota serta patung kecil kedua-dua maskot berkenaan merupakan barangan yang laku dijual.

Di sebalik keterujaan dalam kalangan peminat badminton, wartawan tempatan juga dilihat mengajukan soalan kepada pemain badminton perihal haiwan ikonik terbabit.

Pengunjung turut membawa patung panda sewaktu menyaksikan kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone, hari ini. --fotoBERNAMA

Antara soalan popular kepada pemain selepas menamatkan perlawanan ialah 'Adakah anda suka panda?' atau 'Adakah anda pernah melihat panda di Chengdu?'.

Mungkin itu satu daripada kaedah yang berkesan bagi mereka menarik pengunjung luar terutamanya untuk melawat pusat konservasi panda terkenal iaitu Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar.

Cenderahati sempena kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2024 berkonsepkan Panda. -- fotoBERNAMA

Berkeluasan lebih 3.07 kilometer persegi, pusat berkenaan berfungsi sebagai pemeliharaan panda gergasi, penyelidikan saintifik, pembiakan dan pelancongan kebudayaan.

Maka, tidak hairanlah panda mencuri perhatian di Chengdu - haiwan ini terlalu comel!

-- BERNAMA